(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 17 April 2024, yang boleh didapati di sini.
Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang dan meneruskan tradisi rumah terbuka, sebuah kisah menyayat hati bertajuk “Homeless Hari Raya for elderly couple thrown out by son”1 yang dilaporkan oleh MalaysiaNow telah menyerlahkan realiti yang seringkali tidak diendahkan oleh masyarakat kita. Naratif ini menceritakan penderitaan warga emas di Malaysia, mendedahkan kisah sedih perjalanan hidup individu seperti Zainab dan suaminya, yang, walaupun sudah bertahun-tahun berkorban dan berusaha, mendapati diri mereka ditinggalkan dan menjadi gelandangan di hari-hari tua mereka.
Dalam kisah menyentuh hati yang diterbitkan pada 10 April 2024 ini, kita ditemukan dengan Zainab, seorang warga emas yang kehidupannya ditandai dengan kesukaran dan ketabahan. Walaupun sentiasa hidup dalam kesukaran, dia dan suaminya hidup sederhana dalam kehidupan yang normal, sehinggalah mereka terpaksa hidup di jalanan di Kuala Lumpur. Artikel ini mengisahkan bagaimana mereka hilang tempat berteduh akibat daripada pengkhianatan keluarga dan pengabaian masyarakat, yang menggambarkan perjuangan yang dihadapi oleh ramai individu warga emas dalam kalangan kita.
Dalam kita merenung ikatan kekeluargaan yang mesra dan keselesaan berada di rumah semasa musim perayaan ini, penting untuk kita berhadapan dengan realiti yang dihadapi oleh warga emas. Kisah ini adalah pengingatan yang memilukan mengenai keperluan mendesak reformasi undang-undang untuk melindungi hak dan kesejahteraan warga menua di Malaysia. Ia memberikan isyarat kepada kita untuk menyelami dengan lebih mendalam isu-isu sistemik yang menyebabkan pengabaian warga emas berterusan, dan berjuang untuk perubahan yang menghormati martabat dan sumbangan warga emas kita.
Menurut United Nations Human Rights Council Resolution 33/5, keganasan terhadap orang tua didefinisikan sebagai “fenomena meluas yang termasuk diskriminasi dalam ruang awam, diskriminasi bahasa dan pekerjaan, ketiadaan akses, pengasingan, pengabaian, eksploitasi kewangan, keganasan fizikal dan psikologi dan penyekatan keperluan asas, dan serangan fizikal”.2
Dalam konteks Malaysia, penderaan warga emas mewujudkan kebimbangan sosial seiring dengan pergerakan Malaysia menuju ke arah menjadi negara menua pada tahun 2030.3 Menurut dapatan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antara tahun 2018 dan Jun 2022, sejumlah 2,144 warga emas ditinggalkan di hospital di seluruh negara.4 Apa yang mengejutkan, hanya 914 daripada warga emas ini berjaya disatukan semula dengan keluarga mereka — hanya 43 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Dalam tahun 2021 sahaja, seramai 752 warga emas telah diabaikan dan ditinggalkan, dengan 412 daripada mereka ditempatkan di rumah kebajikan. Walaupun pekerja sosial dari hospital telah berusaha untuk menyatukan semula warga emas ini dengan ahli keluarga mereka, usaha pekerja sosial ini mendapat tentangan dan penolakan daripada keluarga warga emas tersebut yang sering kali memberikan alasan “masalah keluarga” sebagai sebab utama keengganan mereka menerima ahli keluarga yang mereka tinggalkan itu.5
Selanjutnya, data Kementerian menunjukkan bahawa hanya “23 kes penderaan terhadap warga emas yang dilaporkan antara tahun 2014 hingga 2016”. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar kejadian penderaan terhadap warga emas mungkin tidak dilaporkan kerana takut diabaikan atau kekurangan tempat untuk membuat laporan. Kekurangan laporan penderaan ini merupakan cabaran besar bagi agensi dan organisasi yang berkaitan untuk memerangi penderaan terhadap warga emas dengan berkesan, kerana ia menghalang kemampuan mereka untuk mengumpul data yang komprehensif dan mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.
Dengan pengumuman bahawa Kerajaan Malaysia akan membentangkan Rang Undang-Undang Warga Emas di Parlimen pada tahun ini,6 adalah penting untuk kita mengambil panduan daripada bidang kuasa lain yang telah menubuhkan mekanisme untuk mempertahankan hak warga emas. Pengalaman negara-negara seperti Singapura, India, dan Amerika Syarikat memberikan panduan berharga dalam merumuskan undang-undang yang komprehensif untuk menangani keperluan populasi yang menua.
Di Singapura, Tribunal for the Maintenance of Parents menonjol sebagai institusi yang menjadi peneraju dalam memastikan kesejahteraan ibu bapa warga emas yang tidak mampu menyara diri mereka sendiri. Melalui tribunal ini, peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada ibu bapa untuk mendapatkan bantuan bagi memastikan anak-anak mereka memberikan sokongan kewangan kepada mereka, dan dengan itu menangani isu penting penderaan kewangan dan pengabaian warga emas.7 Dengan menggabungkan peruntukan yang sama ke dalam Rang Undang-Undang Warga Emas, Malaysia boleh mengambil pendekatan proaktif untuk melindungi hak dan kesejahteraan populasi warga emasnya.
Demikian juga di India, Maintenance and Welfare of Parents and Senior Citizens Act, 2007 merupakan kerangka undang-undang yang direka untuk menangani keperluan warga emas melalui tribunal khusus. Tribunal ini mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam kes-kes ibu bapa warga emas yang memerlukan bantuan kewangan, dengan memastikan anak-anak atau saudara-mara mereka melaksanakan kewajipan terhadap ahli keluarga yang telah tua. Dengan memanfaatkan peruntukan undang-undang ini sebagai model, Malaysia boleh membangunkan mekanisme yang kukuh untuk menyediakan sokongan dan perlindungan menyeluruh bagi warga emasnya.
Di Amerika Syarikat, walaupun pendekatan yang diambil berbeza, matlamat utamanya adalah untuk memastikan kesejahteraan warga emas. Mahkamah Keluarga memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan sokongan kewangan untuk ibu bapa warga tua, terutamanya di negeri-negeri yang mempunyai “filial responsibility laws” (undang-undang berkaitan tanggungjawab terhadap ibu bapa).8 Melalui mekanisme undang-undang ini, anak-anak yang telah dewasa boleh diwajibkan untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka yang mengalami kesempitan kewangan, mencerminkan komitmen terhadap kewajipan keluarga dan sokongan antara generasi.
Selanjutnya, mediasi berfungsi sebagai kaedah penyelesaian pertikaian alternatif untuk menyelesaikan perselisihan yang melibatkan warga emas. Mediasi menyediakan platform bagi keluarga untuk menangani perselisihan berkaitan dengan penjagaan dan kesejahteraan ibu bapa warga emas di bawah bimbingan mediator yang neutral. Dengan memudahkan dialog dan rundingan, proses mediasi memupuk persefahaman dan mencapai penyelesaian yang bermanfaat untuk semua pihak yang terlibat.
Yang lebih penting, mediasi memberikan kuasa kepada ibu bapa warga emas untuk mengekalkan autonomi dan kebebasan mereka dalam membuat keputusan tentang kebajikan mereka. Dengan melibatkan mereka secara aktif dalam proses mediasi, keutamaan dan keinginan mereka dipertahankan, dan ini mengekalkan maruah dan penghormatan dalam penjagaan warga emas. Mekanisme seperti ini perlu dikaji dan dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Warga Emas yang dicadangkan.
Dalam usaha kami untuk melaksanakan reformasi yang bermakna dan melindungi hak warga emas, Badan Peguam Malaysia, melalui Human Rights Committee dan MyBar Ageing Rights Advisory (“MBARA”) Committee, bersiap sedia untuk memberikan kepakaran dan sokongan yang diperlukan. Dengan komitmen yang mendalam untuk mempertahankan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan mempromosikan keadilan bagi semua anggota masyarakat, Badan Peguam Malaysia berada pada kedudukan yang sesuai untuk berkolaborasi dengan pihak berkepentingan dalam membentuk Rang Undang-Undang Warga Emas yang dicadangkan. Melalui kerjasama dan komitmen yang teguh terhadap hak asasi manusia, kita boleh bekerjasama untuk membina masyarakat yang menghormati dan melindungi martabat dan kesejahteraan setiap warga emas — kerana kisah hidup seperti yang dilalui oleh Zainab, sudah terlalu banyak.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
17 April 2024
1 “Homeless Hari Raya for elderly couple thrown out by son”, MalaysiaNow, 10 April 2024.
2 Resolusi oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Human Rights Council) pada 29 September 2016: “The human rights of older persons”, laman web UNHCR | refworld, 2024.
3 “Is Malaysia Ready to Meet Needs of Ageing Population?”, Fokus BERNAMA, 6 Oktober 2023.
4 “Over 2,100 senior citizens abandoned in Malaysia since 2018, Dewan Rakyat told”, The Star, 21 Julai 2022.
5 “Elder Abuse in Malaysia: All You Need to Know”, Homage. 2024.
6 “Proposed Senior Citizens Bill May Impose Penalties for Sending Elderly Parents to Care Homes”, CodeBlue, 15 Mac 2023.
7 Maintenance of Parents Act 1995.
8 Alaska, Arkansas, California, Connecticut, Delaware, Georgia, Idaho, Indiana, Iowa, Kentucky, Louisiana, Maryland, Massachusetts, Mississippi, Montana, Nevada, New Hampshire, New Jersey, North Carolina, North Dakota, Ohio, Oregon, Pennsylvania, Rhode Island, South Dakota, Tennessee, Utah, Vermont, Virginia, dan West Virginia.