(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 24 April 2024, yang boleh didapati di sini.
Dalam memperjuangkan integriti profesion undang-undang, usaha untuk membanteras touting (aktiviti yang dijalankan oleh ulat / individu yang tidak bertanggungjawab yang menerima komisen daripada firma-firma guaman sebagai balasan kerana mendapatkan klien untuk firma-firma guaman tersebut) kekal sebagai satu medan pertempuran yang merupakan persilangan antara standard etika dan perjuangan mencari keadilan. Touting boleh mengakibatkan kemerosotan ke atas kepercayaan awam dan mengakibatkan ketidakadilan. Oleh itu, usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat perlu dijalankan.
Contoh usaha sedemikian dapat kita lihat dalam laporan oleh The Star bertarikh 18 April 2024 yang bertajuk “MACC arrests two bank officers for allegedly soliciting bribes”.1 Pegawai-pegawai bank ini telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (“SPRM”) kerana didakwa meminta dan menerima suapan berjumlah RM316,064 daripada beberapa buah firma guaman. Modus operandi mereka termasuklah meminta wang sogokan sebagai balasan untuk merujuk pembeli hartanah kepada firma-firma guaman tersebut.
Proses sewajarnya, yang mengikut kedaulatan undang-undang, perlu dilaksanakan terhadap individu-individu yang terlibat itu, dan dalam masa yang sama Badan Peguam Malaysia mengulangi bahawa pembanterasan touting dalam industri perundangan di Malaysia bukanlah semata-mata berkenaan dengan integriti etika, malah ia adalah sangat penting untuk mendukung asas keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.
Di samping peruntukan kesalahan jenayah yang terdapat di bawah undang-undang, ahli-ahli Badan Peguam Malaysia yang terlibat dengan touting adalah tertakluk kepada seksyen 94(3)(h) Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan Kaedah 51 Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etiket) 1978, yang secara jelasnya mendefinisikan touting sebagai salah laku profesional yang berkemungkinan mengakibatkan tindakan tatatertib.
Sesiapa sahaja yang menyedari tentang atau mempunyai alasan untuk mempercayai aktiviti touting sedang dijalankan, hendaklah dengan segera melaporkan kejadian sedemikian kepada Badan Peguam Malaysia melalui “Touting-Online Report Log”2 atau dengan menghantarkan emel ke compliance@malaysianbar.org.my. Semua aduan mestilah mempunyai maklumat yang terperinci dan berserta bukti, sekiranya ada, untuk menyokong aduan tersebut bagi membolehkan Badan Peguam Malaysia mengambil tindakan. Identiti individu-individu yang membuat aduan melalui “Touting-Online Report Log” atau emel akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan.
Inisiatif Badan Peguam Malaysia untuk membanteras touting yang telah disambut baik oleh bukan sahaja ahli-ahli Badan Peguam Malaysia, malah oleh pihak-pihak berkepentingan luar juga, adalah sesuatu yang menggalakkan. Ahli-ahli Badan Peguam Malaysia telah memberikan maklum balas yang positif dan telah berjanji untuk memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif kami ini. Tambahan daripada itu, Badan Peguam Malaysia telah mengadakan sesi-sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan luar, termasuklah dengan sebuah institusi kewangan utama, dan mereka telah menyatakan komitmen untuk menghapuskan insiden touting dalam kalangan pekerja mereka.
Sebagai sebahagian daripada matlamat jangka panjang Badan Peguam Malaysia untuk membanteras touting, kami juga telah membuat rancangan-rancangan yang konkrit untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tetap.
Dengan menghapuskan touting, kami membuka jalan untuk sebuah landskap undang-undang yang dibina atas prinsip kesamarataan, ketelusan dan kebertanggungjawapan. Badan Peguam Malaysia menyeru kepada semua, ahli-ahli kami dan masyarakat secara amnya, untuk menjauhi amalan touting, dan melaporkan kejadian ini kepada Badan Peguam Malaysia melalui kaedah-kaedah yang telah tersedia. Janganlah menjadi punca kepada masalah ini, tetapi jadilah penyelesaiannya. Bersama-samalah kita berganding bahu untuk membanteras touting dan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi perundangan di Malaysia.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
24 April 2024
1 “MACC arrests two bank officers for allegedly soliciting bribes”, The Star, 18 April 2024.
2 Boleh didapati di https://bit.ly/ToutingReportLog.